Sabtu, 13 Februari 2010

SMK Tunku Abdul Rahman @ STAR (kuching)



















SMK Tunku Abdul Rahman, merupakan salah sebuah sekolah yang tertua di Sarawak. Sekolah ini mempunyai rentetan sejarah dan riwayatnya yang tersendiri.Sebelum sekolah ini ditukar sepenuhnya kepada Sekolah Menengah Kebangsaan, ia adalah sekadar “Sekolah Menengah Rakyat” dengan nama Sekolah Menengah Rakyat Tunku Abdul Rahman.


Sekolah ini diisytiharkan pembukaannya pada 31 Januari 1960 iaitu kira-kira 45 tahun yang lalu. Pada 16 September 1963, terbinalah sebuah bangunan sekolah yang indah dengan 12 buah bilik darjah, sebuah bilik guru dan sebuah bilik pengetua. Berkat kerjasama badan pengasas sekolah ini, maka pada 19 Disember 1966, sebuah makmal sains telah didirikan bagi kemudahan pelajar.

Y.T.M Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menderma sebanyak RM50 ribu bagi mendirikan bangunan sekolah dan RM20 ribu untuk mendirikan makmal sains.

Sekolah Menengah Rakyat Tunku Abdul Rahman lahir atas kesedaran Badan pengasas sekolah yang ingin melihat anak-anak bangsa Melayu mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan. Pada 10 Ogos 1966, dengan kerjasama pihak pengelola sekolah dan pihak tentera Malaysia, maka siaplah padang permainan dan dua buah bangsal basikal.

Kemunculan Puan Rakayah Hj Madon sebagai pengetua pada tahun 1998 telah mengubah persepsi masyarakat pada itu tentang pelajar SMK Tunku Abdul Rahman. SMK Tunku Abd Rahman kemudiannya berwajah baru menjelang tahun 2003.

Projek pembinaannya bermula pada tahun 2001 dan projek tersebut rancak dilaksanakan pada tahun 2002. Projek yang menelan belanja sebanyak RM 19 juta ini bermula pada bulan Jun tahun 2001 dan siap sepenuhnya pada pertengahan 2003. Pembinaan sekolah baru ini menggunakan konsep design and build.

Pembinaan bangunan sekolah baru ini merangkumi 4 blok 4 tingkat yang mempunyai 36 buah bilik darjah dan dilengkapi juga beberapa bilik yang lain seperti bilik mesyuarat, bilik perkembangan staf, dan sebagainya. Segala kemudahan yang disediakan memberi keselesaan dan kebaikan kepada semua warga sekolah.

Kini SMK Tunku Abd Rahman telah menjadi sekolah yang berupaya untuk mencapai visi dan misi sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan